Kembali Gemilang


Assalamu’alaikum wbt.

Dalam keluaran Sinar Iqra’ pada minggu ini, kita akan menyoroti sejarah sebuah ummah yang pernah menguasai dunia pada masa ketika dulu. Kita juga akan mengkaji punca kejatuhan kecemerlangan tamadun Islam lampau serta bagaimana untuk mengembalikan sinar gemilang Islam semula. Sedar atau kita tidak sedar, umat Islam pada masa lampau pernah gah dalam bidang keilmuannya. Sebut sahaja dalam bidang mana umat Islam tidak menerokainya, dari ilmu falak sehinggalah ke ilmu geologi, semua dikaji dan diterokai sepenuhnya oleh umat Islam lampau. Mustahil kita tidak pernah mendengar nama Ibnu Sina yang amat mahir dalam bidang kedoktoran, Ibnu Battuta dengan kepakaran ilmu pelayarannya. Masakan kita lupa dengan nama Al Haitham yang sinonim dengan keilmuan fiziknya yang tinggi serta kepintaran ilmu hisab dan matematik, Al Jabbar. Bahkan ramai lagi ilmuan serta sarjana Islam yang mempelopori bidang keilmuan sains dan teknologi ini. Betapa kita amat bangga sekali dengan ketokohan dan ketinggian ilmu mereka. Bertambah bangga kita apabila mereka turut mengadaptasi ilmu mereka dalam skop Islam sehingga menjadi bahan rujukan seluruh dunia hingga kini. Begitu tinggi semangat umat Islam lampau untuk memastikan Islam di pandang tinggi.

Cukup bagi penulis menggambarkan kisah seorang tokoh Islam meluaskan pengaruh Islam dengan semangat jihad yang tinggi dan taqwa sebagai perisainya. Bersama kita renungkan kisah seorang pemuda Islam yang berjaya membuka kota Constantinople di Turki pada usia 21 tahun. Beliau yang di maksudkan ialah Sultan Muhammad Al Fatih. Beliau menemui teknik luar biasa untuk membawa kapalnya masuk ke perairan Tanjung Emas yang amat sukar dimasuki kerana dihalang dengan rantai besi bagi tujuan pertahanan kota Constantinople pada masa itu. Beliau menyarankan kepada tenteranya agar membawa kapal-kapal masuk ke perairan melalui jalan darat. Bayangkan semangat dan kekuatan luar biasa mereka telah berjaya menarik 70 kapal dari pantai melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak melebihi tiga batu dalam hanya satu malam sahaja.Semangat yang tinggi ditunjukkan oleh al-Fatih dan tenteranya ini cukup untuk menimbulkan rasa izzah atau bangga dalam diri kita sebagai umat Islam sampai ke hari ini. Masakan tidak, bukan calang-calang orang yang boleh melakukannya. Sudah beberapa kali usaha penaklukan kota ini dilakukan tetapi semuanya menemui kegagalan. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah yang bermaksud,
"Sesungguhnya Konstantinopel itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya.”
(Hadis riwayat Imam al-Hakim, Imam ath-Thabrani dan Imam Ahmad)

Sahabat sekalian,

Namun itu hanyalah secebis peristiwa yang kekal tersimpan dalam lipatan sejarah ummah.Kita berbangga dengan kecanggihan teknologi dan ketamadunan Islam lampau. Kita berbangga dengan sejarah penaklukan dan pemerintahan umat Islam lampau hampir dua per tiga dunia. Kini, Masjid Aya Sofya di Turki hanyalah dijadikan muzium dan tiada lagi alunan suara azan berkumandang. Nyata impak yang berlaku pada zaman kejatuhan sistem khulafa’ pada tahun 1924 kepada dunia Islam amat besar. Kita tidak lupa bagaimana Sultan Abdul Hamid II diguling dan dihalau dari istananya dengan cara yang sangat mengaibkan. Berakhir era khulafa’ Islam dan digantikan dengan pemerintahan Mustafa Kamal Attaturk yang dilaknat. Juga kita lihat bagaimana Abasiyyah yang begitu maju dalam keilmuan sainsnya dan berjaya menguasai hampir seluruh populasi dunia ketika itu, sehingga khalifahnya pernah berkata, “Oh awan, pergilah engkau ke mana jua, nescaya hasilnya akan kembali kepadaku”. Namun, akhirnya jatuh tersungkur di tangan tentera bangsa Mongol yang tidak bertamadun dan tiada asas sains. Dalam serangan itu, ramai umat Islam terkorban dan banyak buku karangan sarjana Islam dibuang ke dalam Sungai Furat dan Dajlah sehingga airnya menjadi hitam kerana dakwat.

Sama halnya dengan kejatuhan Islam di Sepanyol. Semua tahu tiada langsung peninggalan Islam di negara Eropah itu sekarang, yang tinggal jika ada pun hanyalah kesan tinggalan monumen. Lihat sahaja bagaimana cara pemerintah Islam pada saat kejatuhannya menyerahkan kunci kota Granada dengan keadaan tunduk penuh kehinaan kepada Raja Isabella yang berdiri dengan penuh kebongkakan. Tidakkah kita terfikir di mana umat Islam yang ramai di Sepanyol pada zaman pemerintahan Islam Umayyah sehingga dikatakan ratusan umat Islam boleh memenuhi Masjid Cordoba yang besar pada satu-satu masa dahulu. Ada yang menyebut selepas pemerintahan Islam digulingkan, ratusan umat Islam dibunuh setiap hari sehingga tidak ada seorang pun orang Islam yang tinggal. Amat mendukacita dan memalukan. Empayar Islam ini tumbang di tangan tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid ditukar menjadi gereja serta tiada lagi suara azan kedengaran.

Betapa kita lihat punca kejatuhan kegemilangan Islam ini disebabkan oleh kealpaan dan kelemahan umat Islam sendiri. Kita disogokkan dengan keseronokan dunia sehingga menyebabkan kita terpesong jauh daripada ajaran Islam sebenar. Sedarlah semua ini adalah taktik orang kafir untuk menghancurkan Islam secara senyap. Orang kafir sudah tahu dengan cara ini sahaja Islam boleh dilemahkan kerana mereka sedar jika umat Islam kuat dan berpegang teguh pada Islam, pasti mereka akan kalah dalam mana-mana aspek kehidupan. Perkara ini sebenarnya pernah disedari oleh bekas Perdana Menteri Britain, William Gladstone puluhan tahun dahulu yang mana berkata,“Selagi Al-Quran dihayati oleh orang Islam, maka Eropah tidak akan berjaya selama-lamanya”. Nah, sudah jelas perancangan jahat mereka kepada umat Islam. Jika dahulunya Islam umpama api yang marak menyala tetapi kini ibarat singa yang tidur,mempunyai kuku dan taring yang tajam tetapi lena dibuai mimpi. Jika adapun umat Islam yang sedar, mereka seolah-olah tidak dapat melakukan apa-apa kerana masing-masing meletakkan kepentingan diri lebih daripada ketinggian Islam. Benarlah apa yang telah Rasulullah sabdakan berkenaan keadaan umat pada masa kini,
“Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Seseorang berkata, “Apakah kerana kami sedikit ketika itu?”. Beliau bersabda, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali tetapi kamu umpama buih di atas air. Dan Allah mencabut rasa gerun musuh-musuh kamu dan Allah mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahn.” Seseorang bertanya, “Apakah wahn itu?”. Baginda menjawab, “Cinta dunia dan takut mati”.
(Hadis riwayat Abu Daud)

Maka timbul persoalan apa yang kita semua perlu buat sekarang. Adakah hanya sekadar berpeluk tubuh bergantung harap kepada orang kafir? Apa yang perlu dibuat sekarang untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam? Jawapannya mudah, umat Islam perlu kembali semula menghayati Al Quran dan sunnah. Dengan cara ini sahaja Islam boleh dikembalikan kecemerlangannya dahulu. Sebagaimana Allah rakamkan dalam surah Ali Imran ayat 85 yang bermaksud,
"Dan barang siapa mencari agama selain Islam, dia tidak akan diterima dan di akhirat dia termasuk orang yang rugi".
(Surah al-Imran, 3:85)

Jangan biarkan sejarah hitam lampau berulang lagi kepada generasi Islam pada masa depan. Hanya mengenali dan mempelajari sejarah sahaja kita tidak akan tertipu lagi. Pengetahuan tentang sejarah amat penting yang mana mengajar kita erti kemenangan dan kekecewaan. Di UTM, kita bersyukur banyak sekali program berunsur kerohanian yang dianjurkan sama ada oleh pihak universiti mahupun kelab Islam. Bagi mahasiswa, sertailah mana-mana program anjuran kelab Islam yang boleh meningkatkan pengetahuan tentang Islam. Dengan cara ini tapak pembinaan muslim yang mantap boleh dihasilkan. Adanya tapak yang kukuh ini, sekaligus diharap mampu mencapai ketamadunan Islam yang hebat semula dengan cara menonjolkan Islam dalam diri sendiri dan menyeru kepada yang lain agar sentiasa sedar siapa kita semua di sisi Pencipta. Pun begitu, apalah guna jika hanya sekadar menyediakan platform tetapi tidak dimanfaatkan oleh kita semua.

Segalanya terserah pada kita, sesungguhnya Islam pasti akan bangkit jua nanti. Soalnya, adakah kita hendak menjadi golongan yang hanya melihat Islam bangkit tanpa menyertainya, atau kita hendak menjadi sebahagian daripada watak dalam menjayakan kebangkitan Islam? Kalau tidak kita, siapa lagi? Tidak rindukah kita semua dengan ketulusan dan keadilan Islam mentadbir dahulu bukan sahaja kepada umat Islam bahkan turut dirasai bukan Islam. Ayuhlah para mujahid dan mujahidah, kembalikan kegemilangan Islam!

No comments: